Kami sokong Umno di Semenyih, kata PAS selepas tolak dakwaan Mahathir

Tuan-Ibrahim-Tuan-Man.jpg

PETALING JAYA: PAS hari ini menyangkal dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad yang parti Islam itu tidak akan menyokong Umno pada pilihan raya kecil (PRK) Semenyih.

Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, PAS sudah turun untuk membantu jentera Umno berkempen di PRK Semenyih.

“Objektif kerjasama itu (dengan Umno) diteruskan sebab baru-baru ini penamaan calon pimpinan tertinggi PAS seperti Naib Presiden (Idris Ahmad) dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan telah turun dalam penamaan calon bersama Umno di PRK Semenyih.

“Kita tak ada masalah dari segi kerjasama, bahkan pendirian kita akan kerjasama dengan mana-mana pihak demi mempertahankan agama Islam dan kedudukan Islam di Malaysia,” katanya kepada FMT hari ini.

Sabtu lalu, Dr Mahathir dilaporkan berkata, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam pertemuan dengannya di Yayasan Al-Bukhary, Jumaat lalu mengakui akan mengkaji semula tahap kerjasama dengan Umno dalam menentang calon PPBM di PRK Semenyih.

Semalam, Takiyuddin dilaporkan berkata, PAS akan menyokong kepimpinan Dr Mahathir dan tahap kerjasama PAS-Umno di Semenyih tidak akan “sehebat” PRK Cameron Highlands.

Hari ini, Tuan Ibrahim berkata, pendirian PAS itu hanya menyokong Dr Mahathir dari segi kepimpinan negara dan dasar dibawakannya, selagi tidak melanggar syarak, tetapi ia tidak melibatkan sokongan kepada Umno di PRK Semenyih.

Mengenai dakwaan Takiyuddin berhubung PAS menyokong Dr Mahathir kerana percaya “2 parti komponen Pakatan Harapan” mungkin merancang menyingkirkan perdana menteri, beliau berkata, itu gambaran yang PAS dapat daripada maklumat mereka perolehi.

 

Leave a comment