Rakyat jangan lupa Projek 4.1Bilion Bestarinet Gagal diBawah Muhyiddin Yassin

muhyiddin bestari (1).jpg

Bagaimana projek internet 1Bestari boleh gagal?

Projek ini dimulakan beberapa tahun dulu semasa Tan Sri Muhyiddin Yassin menjawat menteri pendidikan, dan syarikat terlibat ialah YTL Communications Sdn Bhd.

Menurut Kamarozaman, kadang kala bila 1BestariNet ada pun, guru tidak boleh melayari internet!

Bagaimana ia gagal?

Bagaimanakah projek sebesar kapal Titanic sebegini boleh gagal? Mari kita fikirkan.

Proses pemasangan internet di zaman ini bukanlah perkara yang memerlukan mukjizat. Ia sesuatu yang rutin.

Apabila pindah rumah, kita hubungi Telekom Malaysia dan menetapkan tarikh untuk pemasangan internet. Kemudian, jurutera Telekom memasang modem dan router dan pada hari itu juga, kita dapat melayari laman web dan menikmati internet. Mudah sahaja.

Internet kini sudah berada di Malaysia lebih 20 tahun, dan sebahagian hidup rakyat.

Oleh itu, adalah terlalu hairan projek yang bertujuan menyediakan internet boleh gagal. Projek ini hanyalah gandaan kerja mudah di atas, iaitu menyediakan internet. Bukan untuk rumah tetapi untuk sekolah. Tiada perbezaan sangat kecuali dari segi skala.

Soalan menjawab kehairanan

Saya hairan projek ini boleh gagal capai matlamatnya. Kita perlu bertanya soalan yang relevan untuk mengetahui sebab kegagalan projek ini.

Pertama, apakah rekod syarikat YTL Communications?

Adakah ia mempunyai prestasi yang baik dalam projek sebegini?

Jika tidak, mengapa YTL diberi tender melaksanakan projek ini?

Jika benar ia melaksanakan projek sebegini sebelum 1BestariNet, tiada sebab untuk gagal kerana prosesnya sama saja.

Jika gagal, samalah seperti jika kita mengatakan yang kita boleh memasang internet untuk rumah A dan B tetapi tidak untuk rumah C. Kalau semua faktor adalah sama, kenapa rumah C tidak berjaya menikmati kemudan internet?

Kedua, kita wajar tanya siapa agensi kerajaan yang berurusan dengan YTL? Adakah pegawai dalam agensi tersebut berpengalaman menjayakan projek sebesar ini?

Jika ya, mereka patut tahu penanda aras (benchmarks) yang perlu ada sebelum projek ini dimulakan. Adakah YTL mencapai penanda aras ini? Sudahkah mereka membuktikan kebolehan mereka dalam projek sebegini?

Nepotisme?

Mungkin soalan yang paling relevan, jika kita memikirkan budaya nepotisme di Malaysia ialah, adakah pegawai berkenaan mempunyai perhubungan secara peribadi dengan pegawai YTL Communications?

Nepotisme bukanlah satu penyakit yang melanda Malaysia sahaja, bahkan negara yang mempunyai demokrasi yang matang seperti United Kingdom pun mempunyai masalah ini.

Jika ada pegawai syarikat yang mempunyai hubungan peribadi dengan pegawai agensi kerajaan yang berkenaan, mereka perlu diselidik kerana melanggar etika dan tatacara. Mengapa pula kementerian pendidikan tidak mengetahui perkara ini?

Menurut Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), antara kontroversi dalam pengurusan kerajaan berkenaan 1BestariNet ialah pemasangan 1BestariNet Receiver Integrated System (1BRIS) yang berfungsi untuk menerima dan menghantar isyarat di sekolah yang tidak mempunyai struktur rangkaian kawasan tempatan (LAN).

Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) mengesyorkan kepada kerajaan untuk mengenakan sewa bulanan RM1,200 kepada YTL bagi setiap tapak 1BRIS.

Yang hairannya, kementerian pendidikan mengambil keputusan untuk mengenakan sewa tahunan RM1,000 kepada YTL bagi setiap tapak 1BRIS. Ini adalah hanya satu daripada 14 pengesyoran JPPH.

Menurut PAC, kerajaan rugi puluhan juta ringgit hanya dalam transaksi ini.

Mengapakah kementerian pendidikan mengambil keputusan ini? Apakah untuk memberi kelonggaran kepada YTL Communication supaya menjadi lebih cekap dari segi kewangan?

Apa pun sebab mereka, nampaknya logik mereka gagal.

Satu daripada perkara yang saya telah pelajari daripada pengalaman pengurusan projek ialah konsep “modularity” iaitu melaksanakan projek dengan memecahkannya kepada bahagian “self-contained” (iaitu dapat berfungsi sebagai entiti sendiri).

Dalam pengaturcaraan ini, konsep “object orientation” adalah berkenaan dengan “modularity”.

Pengurusan IT adalah bidang di mana “modularity” berfungsi dengan baik. Ini kerana IT melibatkan pengulangan proses yang kecil sehingga menjadi entiti yang kompleks.

Dalam erti kata lain, kita tidak perlu memasang sistem 1BestariNet untuk 10,000 sekolah sekaligus. Membayar untuk pemasangan sebesar itu tanpa bukti yang pemasangan untuk satu-dua sekolah pun tak berbaloi, adalah satu kerja yang amat tidak bijak.

Soalan ketiga yang perlu kita tanya ialah, di manakah perancangan fasa pemasangan di sekolah? Adakah fasa pertama diselidik sebelum wang RM4 bililon diserahkan kepada YTL Communications?

Jika fasa awal tidak dapat dilaksanakan dengan baik, mengapakah keseluruhan kos diserahkan kepada YTL Communication?

Dalam pembentangan Bajet 2017, nampak dengan jelas dua bidang yang memerlukan dana, iaitu pendidikan dan kesihatan, dikurangkan peruntukan. Dalam pada itu, kita terpaksa menerima kerugian dalam projek sebesar 1BestariNet.

Ini adalah hakikat yang tidak patut diterima rakyat dengan begitu saja. Kita perlu mendapat jawapan dan jika perlu, mengambil tindakan yang sewajarnya.

Laporan Ketua Audit Negara 2013 menunjukkan bahawa 8,807 sekolah sudah dilengkapi dengan sistem VLE. Tetapi statistik pendaftaran masuk atau login bagi bulan Mac 2014 adalah antara 0.01% – 4.96%. Namun penggunaan sistem tersebut berkadar songsang dengan 0.17% – 0.64% minat murid sekolag. Sejumlah RM663 juta sudah pun dibelanjakan sejak tahun 2012. Tetapi kadar penggunaan yang amat rendah di sebalik pelaburan yang begitu besar adalah disebabkan beberapa faktor seperti

1. Kelemahan infrastruktur sedia ada,
2. Sambungan jalur lebar yang lembap,
3. Liputan Internet tanpa wayar yang tidak mencukupi,
4. Masalah ketercapaian kepada sistem,
5. Kekurangan perkakas sokongan seperti komputer riba dan projektor,
6. Ketiadaan pemantauan dan garis panduan yang jelas bagi penggunaan VLE.

■ Menurut Laporan Ketua Audit Negara juga, wujud penyelewengan pelaksanaan 1BestariNet oleh kontraktor YTL Communications Sdn Bhd. Antara penyelewengan yang berlaku adalah :

1. Ketidakpatuhan kepada syarat-syarat kontrak,
2. Kekurangan pengurusan nilai (value management),
3. Kelewatan dalam pemasangan infrastruktur serta liputan yang tidak mencukupi.
■ YTL telah diberi masa sehingga 30 Mac 2013 untuk memasang Internet jalur lebar 4G di semua 10,000 sekolah. Walau bagaimanapun, menjelang tarikh akhir itu, hanya 6,092 sekolah bersamaan 59.3% sahaja telah disambungkan. Setahun kemudian, hanya 88.9% telah selesai, dengan baki kira2 lebih 1000 sekolah yang masih menunggu. Hasil daripada kelewatan ini, YTL telah didenda RM2.4 juta oleh Kementerian Pendidikan.

■ Penyelewengan lain yang didapati dalam Laporan Ketua Audit Negara termasuk kegagalan kontraktor untuk mendapatkan kelulusan teknikal daripada MAMPU dan Kementerian, serta kegagalan untuk menjalankan Penilaian Keperluan Sekolah sebelum pemasangan infrastruktur. Akibatnya, 58% daripada 501 sekolah yang diselidik melaporkan bahawa sistem 1BestariNet yang dipasang tidak meliputi keseluruhan kawasan sekolah, walaupun ia merupakan syarat wajib dalam kontrak antara Kementerian dan YTL.

■ Laporan Ketua Audit Negara juga menunjukkan bahawa kelajuan jalur lebar yang disediakan rata-rata kurang memuaskan dan jauh lebih rendah daripada syarat kontrak yang menetapkan kelajuan daripada 4Mbps sehingga 20Mbps.

■ Oleh yang demikian, selain daripada denda RM2.4 juta yang dikenakan ke atas YTL kerana kelewatan pemasangan infrakstruktur 1BestariNet, apakah tindakan-tindakan lain yang diambil oleh Kementerian untuk mengatasi penyelewengan kontrak yang disebutkan tadi?.

□ 1BRIS: keuntungan untuk kroni semata-mata?

■ Laporan Ketua Audit Negara juga mendedahkan beberapa kelemahan kontrak yang bukan sahaja merugikan Kerajaan, tetapi membawa keuntungan besar kepada YTL. Salah satu contoh yang jelas adalah pemasangan menara pemancar 1BestariNet Receiver Integrated System, atau 1BRIS, yang dipasang di premis sekolah untuk menerima dan menyampaikan isyarat tanpa wayar.

■ Menurut penemuan audit, Kementerian telah mendapatkan input daripada Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) berkenaan dengan kadar sewa yang sesuai untuk penggunaan premis sekolah sebagai tapak 1BRIS. Justeru, JPPH telah mengesyorkan sewa bulanan sebanyak RM1,200 bagi setiap tapak.

■ Walau bagaimanapun, YTL enggan membayar jumlah ini, sebaliknya menyatakan bahawa syarat2 kontrak membenarkan mereka untuk memasang menara pemancar secara percuma. Pun begitu, Kementerian telah memutuskan untuk mengenakan sewa token sebanyak RM1,000 setahun bagi setiap tapak 1BRIS.

■ Namun demikian, RM1,000 setahun adalah jauh berbeza dengan syor JPPH, iaitu RM1,200 sebulan. Malah, Laporan Ketua Audit Negara menyatakan kadar RM1,000 setahun adalah “tidak munasabah.” Dengan sebanyak 3,203 menara pemancar 1BRIS yang dipasang di seluruh negara, pendapatan sewa pada harga RM1,200 sebulan adalah RM46.12 juta setahun. Malangnya, YTL hanya perlu membayar RM3.2 juta setahun. Ini bersamaan dengan kerugian pendapatan sebanyak RM42.92 juta setahun bagi Kementerian.

■ Laporan Ketua Audit Negara juga mendapati bahawa berdasarkan kontrak yang dipersetujui antara Kementerian dan YTL, semua caj utiliti yang berkaitan dengan 1BestariNet termasuk menara pemancar 1BRIS terpaksa ditanggung oleh Kerajaan sepanjang tempoh kontrak, sementara kontraktor hanya bertanggungjawab untuk kos yang berkaitan dengan pemasangan, penyelenggaraan dan pengurusan 1BRIS.

■ Ini adalah suatu kecuaian yang serius dalam perjanjian kontrak. Malah, pihak Kementerian dalam jawapannya kepada Pejabat Ketua Audit Negara telah mengakui bahawa pemasangan menara pemancar 1BRIS telah meningkatkan kos elektrik sekolah sebanyak RM150 hingga RM180 sebulan. Jika digandakan dengan 3,203 tapak 1BRIS di seluruh negara, jumlah peningkatan caj elektrik adalah antara RM5.77 juta hingga RM6.92 juta setahun. Keadaan ini langsung tidak masuk akal, kerana Kerajaan merupakan pelanggan perkhidmatan YTL dan tidak seharusnya dibebani dengan caj utiliti yang sepatutnya menjadi sebahagian daripada kos operasi kontraktor.

■ Akibat kelemahan dalam kontrak 1BestariNet yang jelas berat sebelah, YTL akan memperolehi keuntungan atas angin hampir RM50 juta setahun, ataupun RM750 juta sepanjang tempoh 15 tahun projek 1BestariNet. Dalam konteks ini, denda RM2.4 juta yang dikenakan ke atas YTL sebenarnya tidak bermakna langsung berbanding ratusan juta ringgit keuntungan yang bakal diperolehi YTL akibat kelemahan kontrak serta pendapatan daripada penggunaan komersil menara pemancar 1BRIS, di samping apa-apa keuntungan daripada projek tersebut.

■ Hanya ada dua penjelasan bagi kontrak yang amat berat sebelah ini. Sama ada Kerajaan berlaku cuai kerana bersetuju dengan perjanjian yang penuh kelemahan ini, atau pun perjanjian ini sengaja dibentuk sedemikian rupa untuk menguntungkan syarikat kroni. Walau apa pun jawapannya, Kementerian harus bertanggungjawab dan menjelaskan kepada rakyat bagaimana kerugian ini akan diatasi.

Leave a comment